Kepada semua yang melayari blog ini sama-samalah kita memeriahkan ruangan ini. Apa sahaja aktiviti dan maklumat yang dapat dikongsi bersama rakan yang lain bolehlah diemailkan kepada kakigunungserikandar@yahoo.com untuk diterbitkan di blog ini.

Sabtu, 9 Oktober 2010

XPDC MENAWAN PUNCAK GUNUNG BENUM 2107 METER

Pada 19 hingga 23 Mei 2010 tercatat satu lagi sejarah buat kumpulan pendaki dari Unit Kokurikulum Uitm Perak, Bandar Seri Iskandar, Perak setelah berjaya menawan beberapa puncak gunung sebelum ini. Kumpulan seramai 28 orang yang disertai oleh Pengarah Kampus, staf dan siswa siswi UiTM Perak ini telah menaruh harapan yang tinggi untuk menawan Puncak Gunung Benum pada ketinggian 2107 m. Gunung Benum terletak di Negeri Pahang telah diuruskan oleh Taman Negara Pahang ini merupakan salah satu gunung yang kaya dengan sumber flora dan fauna yang menarik.

Hari Pertama 19052010
Sekitar jam 8.30pagi semua peserta sudah berkumpul dan bersiap sedia dengan peralatan yang hendak di bawa masing-masing. Peserta yang sudah mengenali antara satu sama lain berborak dan bergurau-senda sambil menunggu bas yang akan membawa mereka ke Kampung Tengah, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Tepat  jam 9.30pagi bas mula meninggalkan kampus UiTM Perak dan peserta sampai ke  kampong tersebut pada jam 6.40 petang. Kami di sambut oleh wakil penduduk di situ sebelum di bawa ke rumah persinggahan untuk bermalam. Menu makan malam yang enak juga disediakan oleh penduduk di situ sebelum sesi taklimat pendakian diberikan oleh ketua juru pandu arah.


Hari Dua 20052010

Hari ini bermulalah aktiviti pendakian, selepas bersarapan nasi lemak yang enak, tepat jam 8.15pagi peserta menaiki kenderaan pacuan 4 roda dengan keadaan jalan yang beralun menuju ke tempat permulaan pendakian. Walaupun perjalanan mengambil masa selama 30 minit sahaja, namun terasa juga lenguh pinggang disebabkan jalan yang beralun. Selepas mendengar taklimat ringkas dari juru pandu arah, jam menunjukkan pukul 9.30pagi bermulalah matlamat untuk menakluki puncak Gunung Benum. Kem yang akan ditempuhi untuk hari ini adalah Base  Camp 1 iaitu Kem Jeneruh dan  Base Camp 2  iaitu Gunung Lilin. Laluan yang begitu mencabar menguji kesabaran setiap pendaki. Setiap kumpulan yang telah dibahagikan  akan mengambil masa sendiri untuk berhenti rehat sambil membasahkan tekak dan menguyah makanan yang dibawa masing-masing. Sekitar jam 12.00tengahari semua pendaki sampai di Kem Jeneruh untuk makan tengahari dan bersolat. Hidangan makan tengahari telah dibungkus siap dari pagi lagi dan pendaki cuma memasak air sahaja untuk dibuat air teh. Sumber air tiada masalah kerana Kem Jeneruh ini berdekatan dengan sungai. Setelah kembali bertenaga, tepat jam 2.00petang semua pendaki memulakan kembali pendakian untuk ke Base Camp 2 iaitu Gunung Lilin. Kedinginan mula terasa apabila jarak Gunung Lilin semakin hampir. Kumpulan pertama tiba jam 4.50petang  dan kumpulan terakhir jam 6.30petang. Ketibaan pendaki ke puncak Gunung Lilin disambut dengan hujan yang lebat menambahkan lagi kesejukan kepada pendaki. Semua mula mencari tempat berteduh dan menunggu hujan berhenti untuk aktiviti memasang khemah dan memasak. Setelah selesai makan, semua pendaki mula mencari tempat untuk tidur.






Hari Ketiga 21052010
Jam 8.00pagi semua pendaki telah bersiap untuk bersarapan pagi dan meneruskan pendakian pada jam 9.30pagi. Pendakian diteruskan ke Base Camp 3 iaitu Permatang angin, cuaca hari ini amat baik dengan angin yang bertiup dingin menyegarkan kembali semangat pendaki untuk menawan puncak Gunung Benum. Di sepanjang pendakian banyak terdapat periuk kera yang menarik di samping pelbagai jenis flora. Laluan pendakian lebih mencanak daripada laluan pada hari kedua sehinggalah ke Permatang Angin. Jam 4.30petang kumpulan pertama sudah menjejak kaki dan sekitar jam 5.30petang semua kumpulan pendaki sampai di Permatang Angin. Keadaan panas terik masih lagi terasa disertai dengan angin yang bertiup dingin. Kesempatan ini digunakan oleh pendaki untuk menjemur pakaian yang lembab dan persiapan mendidikan khemah serta memasak. Keadaan di sekeliling puncak Permatang Angin ini amat menarik kerana pendaki disajikan dengan permandangan Bandar Temerloh, Mentakab, Jerantut dan Genting Hinglands. Kalau bernasib baik dengan keadaan cuaca yang mengizinkan, puncak Gunung Tahan juga boleh dilihat. Selepas makan malam pendaki mula merehatkan badan masing-masing.


Hari Keempat 22052010
Hari yang penuh bermakna kerana puncak Gunung Benum akan ditawan pada hari ini. Setelah selesai bersarapan dan mengemas barang masing-masing tepat jam 8.30pagi kumpulan pertama mula meninggalkan puncak Permatang Angin dan diikuti kumpulan seterusnya. Perjalanan menuju ke puncak disambut dengan hujan yang mula turun, ini amatlah menguji kesabaran pendaki kerana terpaksa melalui laluan pendakian yang becak dan licin.  Keadaan pendaki yang basah kuyup tidak mematahkan semangat untuk meneruskan misi ini, tepat jam 9.20pagi kumpulan pertama telah sampai ke puncak disusuli kumpulan pendaki yang terakhir pada pukul 10.30pagi. Hujan masih lagi tidak mahu berhenti dan kepuasan jelas terpancar pada setiap pendaki kerana segala usaha telah berhasil. Setelah selesai sesi bergambar tepat jam 11.00pagi semua pendaki mula meninggalkan puncak Gunung Benum untuk menuju ke Kem Sungai Besar. Pendaki akan melalui laluan lain untuk ke kem Sungai Besar, banyak laluan permatang dan para pendaki terpaksa juga menempuhi laluan pokok tumbang. Terdapat juga kawasan menuruni bukit yang licin, ini memaksa juru pandu arah memasang tali sebagai langkah keselamatan. Tepat jam 8.40malam kumpulan pertama sampai di Kem Sungai Besar yang sememangnya kem ini terletak bersebelahan dengan sungai. Kumpulan terakhir sampai pada pukul 11.00malam, setelah selesai makan malam semua pendaki mula melelapkan mata walaupun tidak selesa dengan agas yang menganggu.



Hari Kelima 23052010
Hari terakhir perjalanan untuk keluar dari hutan, walaupun keletihan para pendaki tetap bersemangat untuk menghabiskan misi ini. Setelah siap berkemas, jam 9.45pagi pendaki mula bergerak meninggalkan Kem Sungai Besar, keadaan laluan masih ada yang menaik dan menurun. Ada juga laluan berbatu di tepi sungai yang memudahkan pendaki membasahkan tekak dengan air sungai. Kem akhir sebelum pendaki menamatkan misi ini adalah Perlok.  Sekitar jam 4.30petang kumpulan pertama pendaki mula sampai di Perlok dan kumpulan terakhir sampai pada pukul 5.00petang. Selesailah sudah misi menawan Puncak Gunung Benum pada ketinggian 2107 meter, setelah semua pendaki membersihkan diri masing-masing di masjid Kampung Tengah, Ulu Cheka, Jerantut kami pun bertolak balik ke kampus UiTM Perak pada pukul 7.00petang.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan